Pages

Sunday 10 June 2012

Benzema: United cuba untuk menandatangani saya




Bintang Perancis, Karim Benzema mendakwa Manchester United telah cuba untuk menandatanganinya beberapa kali.

Benzema, yang dijangka akan mengetuai serangan Perancis apabila mereka menentang England pada hari Isnin dalam perlawanan pembukaan kempen Euro 2012 mereka, menegaskan beliau gembira di Real Madrid dan tidak mempunyai rancangan untuk meninggalkan juara liga Sepanyol itu.

Pemain berusia 24 tahun itu sering dikaitkan dengan pemindahan ke Liga Perdana, dengan Sir Alex Ferguson dikatakan peminat besar bekas pemain Lyon itu.

Benzema sedar tentang khabar angin mengenai masa depannya, tetapi beliau berkeras beliau tidak mempunyai rancangan untuk meninggalkan Bernabeu.

"Khabar angin mengenai masa depan saya adalah biasa, setiap musim panas adalah yang sama," Benzema memberitahu akhbar The Sun pada hari Ahad.

"Tetapi saya amat gembira di Real Madrid dan tidak pernah fikir untuk meninggalkan Real. Saya tahu Manchester United telah cuba untuk menandatangani saya beberapa kali dalam tiga atau empat musim yang lalu.

"Apabila saya berada di Lyon, mereka dan beberapa kelab lain mahukan saya tetapi tidak dapat bersetuju dengan Lyon. Tetapi, saya memang mahu ke Sepanyol dan saya ​​boleh mengatakan saya tidak pernah menyesal dengan keputusan saya.

"Saya masih muda dan saya mempunyai kontrak di Madrid sehingga 2015. Saya masih mahu mencapai banyak di kelab ini. Saya telah merasai kejayaan selepas memenangi liga Sepanyol tetapi saya mahukan lebih banyak."

Benzema enggan untuk berkata beliau tidak akan berpindah ke England di masa depan, tetapi menegaskan dia tidak akan berpindah sekarang.

"Saya tidak akan berkata tidak kepada England," kata Benzema

Kedatangan Kagawa dialu-alukan




Pengurus Jepun Alberto Zaccheroni telah menyatakan yang Shinji Kagawa mempunyai ciri-ciri yang diperlukan di Manchester United.

Kagawa dijangka akan menandatangani pasukan Sir Alex Ferguson dalam beberapa minggu lagi dari Borussia Dortmund.

Pemindahan itu bermakna beliau adalah pemain Jepun pertama untuk menyarung jersi merah yang terkenal itu.

Walaupun beberapa pihak penyokong United telah mengharapkan kedatangan pemain bintang yang lebih terkenal, Zaccheroni yakin pemain yang berusia 23 tahun itu akan berkembang dan menjadi pemain yang penting untuk pasukan Red Devils.

"Saya belum mengucapkan tahniah kepadanya lagi. Saya hanya berkata "selamat majujaya" kepadanya kerana ini hanya satu detik permulaan untuk beliau. Saya tahu yang dia memerlukan keputusan yang baik sebelum boleh dianggap sebagai pemain yang baik di Manchester United." pengurus Itali itu memberitahu laman rasmi United.

"Walaubagaimanapun saya merancang untuk mengucapkan tahniah kepadanya tiga tahun kemudian kerana ia jelas yang dia mempunyai kekuatan mental dan kemampuan teknikal untuk berjaya di sana."

Kagawa enggan menyatakan apa-apa tentang pemindahannya tiga hari lalu tetapi Zaccheroni menganggap yang ia adalah tanda baik untuk bolasepak Jepun.

"Saya tahu yang dia enggan menyatakan apa-apa. Tetapi ia adalah sesuatu yang sukar untuk diabaikan."

"Saya rasa pemindahan ini adalah baik bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk sukan bola sepak negara ini."

"Saya telah berada di Jepun selama dua tahun dan dalam jangka masa yang cepar itu, dua pemain telahpun menandatangani untuk kelab terbesar dunia - [Yuto] Nagatomo ke Inter (Milan) dan kini Kagawa ke United. Ia adalah bukti yang perkembangan pemain muda Jepun amat baik."

Messi gembira dengan kemenangan




Lionel Messi gembira hatrkinya telah membantu Argentina menewaskan Brazil walaupun hanya bermain sebuah perlawanan persahabatan.

Messi adalah pemain bintang di perlawanan antara gergasi-gergasi Amerika Selatan itu di New Jersey, di mana Messi bantu pasukannya menang 4-3.

Romulo, Oscar dan Hulk menjaringkan gol-gol Brazil dan Federico Fernandez menjaringkan gol ketiga Argentina.

Bercakap selepas perlawanan itu, Messi berkata: "Kemenangan ini mengkuatkan lagi pasukan kami dan membantu kami untuk berkembang sebagai satu pasukan.

"Walaupun ia hanya satu persahabatan, ia sentiasa baik untuk menewaskan Brazil. Saya juga sangat gembira dengan hatrik saya. Tidak selalu kami dapat lihat tujuh gol dalam perlawanan antara Brazil dan Argentina."

Argentina memulakan perlawanan dengan pasukan yang hebat, manakala Brazil memilih skuad yang lebih muda.

"Sangat baik dapat bermain dengan pemain-pemain yang hebat seperti Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain. Keputusan ini baik untuk pasukan kami."

Messi juga mendedahkan beliau telah bertukar jersi dengan bintang Brazil, Neymar selepas perlawanan itu.

"Beliau sentiasa bercakap perkara-perakara baik tentang saya," katanya. "Dia seorang pemain yang hebat dan selepas perlawanan kami bertukar jersi."

Pengurus Argentina Alejandro Sabella gembira dengan usaha pasukannya, terutama sekali dengan Messi.

"Kami bernasib baik Messi adalah seorang pemain Argentina dan kami boleh menikmatinya," katanya.

"Messi adalah pemain yang luar biasa. Prestasi beliau untuk pasukan kebangsaan baru-baru ini sangat baik.

"Kami bermain menentang pasukan yang sangat mengancam di bahagian serangan. Ia adalah pertarungan yang sangat menarik untuk para penyokong."

Bintang Manchester City, Aguero juga terpesona dengan persembahan Messi.

"Dia tidak mengejutkan saya lagi. Beliau adalah pemain terbaik di dunia.

"Dia telah memenangi tiga (FIFA) Ballon d'Or dan akan menjadi pemain terbaik di dunia sehingga beliau bersara."

Ukraine mahu menangani tekanan




Pengurus Ukraine, Oleg Blokhin berkata pasukannya akan menghadapi banyak tekanan jika mereka memulakan kempen Euro 2012 mereka dengan kemenangan atas Sweden.

Ramai yang telah pun mengatakan Ukraine tidak akan mara ke pusingan seterusnya, dengan Perancis dan England pasukan yang lain dalam kumpulan itu.

Blokin tahu pasukannya menghadapi sebuah cabaran yang hebat dan berharap pemainnya dapat meningkatkan prestasi mereka.

"Mereka harus menghadapi cabaran ini, sama ada mereka suka ataupun tidak," katanya kepada www.uefa.com.

"Saya telah berkata pada tahun 2010 bahawa sudah tiba masanya untuk menukar pasukan kebangsaan.

"Mungkin mereka tidak akan menangi apa-apa, tetapi mereka akan mendapat pengalaman berharga untuk masa depan, tetapi sudah tentu saya harap kami dapat pergi jauh dalam pertandingan ini.

"Ada banyak tekanan menjadi pasukan tuan rumah. Apabila saya mengambil alih sebagai jurulatih, saya menetepkan matlamat untuk menjuarai pertandingan ini kerana kami adalah pasukan tuan rumah.

Ukraine menuju ke perlawanan ini selepas kekalahan kepada yang mengecewakan kepada Austria dan Turki, jauh bebeza daripada kejayaan mereka enam tahun yang lalu di mana mereka layak ke suku akhir Piala Dunia.

Perancis awas dengan ancaman Gerrard





Pemain tengah Perancis Yohan Cabaya berkata Steven Gerrard adalah ancaman paling hebat kepada pasukannya menjelang perlawanan mereka di Donestk pada hari Isnin.

Pemain Newcastle, Cabaye sedar tentang kualiti pemain Liverpool itu apabila menyaksikan beliau bermain di Liga Perdana.

Beliau tahu pasukannya akan mempunyai lebih harapan untuk menang jika mereka dapat menahan Gerrard.

Cabaye berkata: "Pemain mana yang paling mengancam? Steven Gerrard adalah seorang pemain yang sangat penting, sangat hebat dan pemimpin yang menunjukkan contoh yang baik kepada rakan-rakan pasukannya.

"Beliau adalah pemimpin mereka, kapten mereka, dan seperti seorang raja dalam perlawanan ini.

"Beliau sangat agresif apabila membuat serangan tetapi beliau juga penting apabila membantu membuat pertahanan. Sangat penting untuk menahan beliau.

"Tetapi England juga mempunyai beberapa pemain muda yang berbakat dan saya juga suka Danny Welbeck."

Cabaye juga telah menggesa Perancis untuk mengambil kesempatan ketiadaan Wayne Rooney yang digantung.

"Rooney adalah seorang pemain yang sangat hebat, dan ketiadaan beliau akan dirasai oleh England.

Cabaye enggan bercakap tentang peluang pasukannya untuk memenangi Euro 2012 walaupun France tidak kalah dalam 21 perlawanan terakhir mereka.

Tetapi beliau mengakui ada suasana yang baik di pasukan Perancis kini.

Beliau berkata: "Ada suasana yang baik di pasukan kami. Kami berjuang untuk satu sama lain dan untuk seluruh Perancis.

"Kami bersedia untuk berjuang. Agak sukar untuk melupakan peristiwa Piala Dunia tetapi terdapat semangant yang baik di sini sekarang.

"Tetapi England adalah pasukan yang hebat dan sukar untuk membuat ramalan tentang perlawanan ini.

"Ada beberapa orang yang mengatakan kami adalah pasukan kegemaran untuk mara ke suku akhir tetapi England, walaupun dengan ketiadaan beberapa pemain akibat kecederaan, masih sangat kuat dan Ukraine adalah pasukan tuan rumah.

"Tetapi kami akan cuba untuk menang dengan cara kami. Saya sedia untuk berjuang dan keputusan yang baik pada hari Isnin akan meningkatkan keyakinan kami."

Penyerang Perancis Karim Benzema berkata: "Kami sudah sedia untuk perlawanan ini dan sangat penting untuk memulakan kempen ini dengan baik."

Hodgson: England tidak takut Perancis




Roy Hodgson menegaskan pemain England tidak takut menentang pasukan Perancis, yang tidak kalah dalam 21 perlawanan terakhir mereka.

Perancis kelihatan seperti sebuah pasukan baru selepas Lauren Blanc mengambil alih sebagai pengurus selepas peristiwa pahit di Piala Dunia 2010. Mereka juga telah menewaskan England 2-1 di Wembley dalam persahabatan 18 bulan lalu.

Tetapi Hodgson percaya para pemainnya boleh membuat kejutan esok.

Beliau berkata: "Para pemain percaya kami boleh menewaskan Perancis. Kami tidak takut dengan mereka.

"Kami hormati mereka. Kami kenali pemain mereka dan bakat mereka. Anda memang harus hormati pasukan yang tidak kalah 21 perlawanan terakhir.

"Di mana-mana liga, 21 perlawanan tanpa kekalahan adalah hebat. Tetapi pemain saya tidak takut. Mereka bermotivasi."

Hodgson menambah: "Saya rasa pemain saya gembira Perancis adalah pasukan kegemaran untuk menang, kerana kami tidak akan berasa tertekan. Kami yakin kami boleh bersaing dengan mereka."

Hodgson sedar dia dianggap sebagai seorang jurulatih yang sering menyuruh pasukannya untuk bermain dengan cara berhati-hati, tetapi berkata keputusan adalah yang paling penting.

Beliau berkata: "Jika pasukan anda boleh membuat pertahanan dengan baik dan tidak dibolos banyak, mungkin anda akan dipanggil seorang jurulatih yang suka bermain dengan cara berhati-hati.

"Tetapi yang penting adalah kemenangan. Jika anda tidak dapat membuat pertahanan yang baik, anda akan dibolos banyak, dan anda akan perlukan seorang penyerang yang boleh menjaringkan banyak gol untuk menyelamatkan pasukan anda."

'Maksud saya adalah saya berfikir secara logik. Saya suka menang dan saya tahu saya tidak boleh menang dengan menyuruh pemain saya untuk menjaringkan tiga atau empat gol."

Hodgson tahu pasukannya dijangka akan sekurang-kurangya mara ke suku akhir.

Beliau berkata: "Apa erti kejayaan? Saya tidak menetapkan apa-apa sasaran. Terlalu banyak sasaran yang telah ditetapkan untuk kami, jadi mengapa bersusah payah untuk menetapkan mereka sasaran kami sendiri?

"Saya tidak bersedia untuk mengatakan apa matlamat saya. Orang ramai menjangkakan kami akan memberikan persembahan yang baik dan akan menjadi sangat kecewa jika kami tidak sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Permulaan yang hebat untuk Croatia




Croatia memulakan kempen Euro 2012 mereka dengan menewaskan Republik Ireland 3-1 dalam perlawanan Kumpulan C.

Ireland, yang tidak kalah dalam 14 perlawanan terakhir mereka sebelum ini, tidak memulakan perlawanan ini dengan baik dan Croatia mendahului perlawanan melalui Mario Mandzukic pada minit ke-3.

Sean St Ledger menyamakan kedudukan selepas 19 minit tetapi Croatia mendahului perlawanan sekali lagi tiga minit sebelum separuh masa apabila Nikica Jelavic menjaring masuk dari jarak dekat.

Jaringan sendiri Shay Given pada permulaan separuh masa kedua melesapkan harapan Ireland untuk bangkit dan meletakkan Croatia di tangga pertama Kumpulan C selepas Sepanyol seri dengan Itali 1-1.

Jurulatih Ireland, Giovanni Trapattoni jelas akan marah dengan jaringan awal yang dibolos pasukannya.

Mandzukic, yang tidak dikawal oleh mana-mana pemain Ireland, menanduk masuk hantaran Darijo Srna dari sayap kanan untuk berikan pendahuluan kepada Croatia.

Walaubagaimanapun, Ireland meningkatkan prestasi mereka dengan percubaan Damien Duff dan Keith Andrews yang tersasar.

Mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-19 apabila sepakan percuma McGeady dari sayap kiri ditanduk masuk oleh St Ledger.

Croatia mendahului perlawanan sekali lagi apabila hantaran Modric terkena dua pemain Ireland dan terlepas kepada Jelavic, yang menjaringkan dengan tenang melepasi Given dari jarak dekat.

Croatia memulakan separuh masa kedua dengan cara yang sama, dan sebuah permainan yang hebat menghasilkan gol ketiga mereka.

Hantaran Perisic ditanduk oleh Mandzukic terkena tiang lalu terkena Given dan masuk ke gawang.

Ireland berjuang dan cuba untuk menjaringkan gol kedua mereka tetapi benteng pertahanan Croatia kukuh. Mereka kini harus menewaskan Sepanyol atau Itali jika mahu kekalkan harapan untuk mara ke suku akhir Euro 2012.