Pages

Sunday 10 June 2012

Benzema: United cuba untuk menandatangani saya




Bintang Perancis, Karim Benzema mendakwa Manchester United telah cuba untuk menandatanganinya beberapa kali.

Benzema, yang dijangka akan mengetuai serangan Perancis apabila mereka menentang England pada hari Isnin dalam perlawanan pembukaan kempen Euro 2012 mereka, menegaskan beliau gembira di Real Madrid dan tidak mempunyai rancangan untuk meninggalkan juara liga Sepanyol itu.

Pemain berusia 24 tahun itu sering dikaitkan dengan pemindahan ke Liga Perdana, dengan Sir Alex Ferguson dikatakan peminat besar bekas pemain Lyon itu.

Benzema sedar tentang khabar angin mengenai masa depannya, tetapi beliau berkeras beliau tidak mempunyai rancangan untuk meninggalkan Bernabeu.

"Khabar angin mengenai masa depan saya adalah biasa, setiap musim panas adalah yang sama," Benzema memberitahu akhbar The Sun pada hari Ahad.

"Tetapi saya amat gembira di Real Madrid dan tidak pernah fikir untuk meninggalkan Real. Saya tahu Manchester United telah cuba untuk menandatangani saya beberapa kali dalam tiga atau empat musim yang lalu.

"Apabila saya berada di Lyon, mereka dan beberapa kelab lain mahukan saya tetapi tidak dapat bersetuju dengan Lyon. Tetapi, saya memang mahu ke Sepanyol dan saya ​​boleh mengatakan saya tidak pernah menyesal dengan keputusan saya.

"Saya masih muda dan saya mempunyai kontrak di Madrid sehingga 2015. Saya masih mahu mencapai banyak di kelab ini. Saya telah merasai kejayaan selepas memenangi liga Sepanyol tetapi saya mahukan lebih banyak."

Benzema enggan untuk berkata beliau tidak akan berpindah ke England di masa depan, tetapi menegaskan dia tidak akan berpindah sekarang.

"Saya tidak akan berkata tidak kepada England," kata Benzema

Kedatangan Kagawa dialu-alukan




Pengurus Jepun Alberto Zaccheroni telah menyatakan yang Shinji Kagawa mempunyai ciri-ciri yang diperlukan di Manchester United.

Kagawa dijangka akan menandatangani pasukan Sir Alex Ferguson dalam beberapa minggu lagi dari Borussia Dortmund.

Pemindahan itu bermakna beliau adalah pemain Jepun pertama untuk menyarung jersi merah yang terkenal itu.

Walaupun beberapa pihak penyokong United telah mengharapkan kedatangan pemain bintang yang lebih terkenal, Zaccheroni yakin pemain yang berusia 23 tahun itu akan berkembang dan menjadi pemain yang penting untuk pasukan Red Devils.

"Saya belum mengucapkan tahniah kepadanya lagi. Saya hanya berkata "selamat majujaya" kepadanya kerana ini hanya satu detik permulaan untuk beliau. Saya tahu yang dia memerlukan keputusan yang baik sebelum boleh dianggap sebagai pemain yang baik di Manchester United." pengurus Itali itu memberitahu laman rasmi United.

"Walaubagaimanapun saya merancang untuk mengucapkan tahniah kepadanya tiga tahun kemudian kerana ia jelas yang dia mempunyai kekuatan mental dan kemampuan teknikal untuk berjaya di sana."

Kagawa enggan menyatakan apa-apa tentang pemindahannya tiga hari lalu tetapi Zaccheroni menganggap yang ia adalah tanda baik untuk bolasepak Jepun.

"Saya tahu yang dia enggan menyatakan apa-apa. Tetapi ia adalah sesuatu yang sukar untuk diabaikan."

"Saya rasa pemindahan ini adalah baik bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk sukan bola sepak negara ini."

"Saya telah berada di Jepun selama dua tahun dan dalam jangka masa yang cepar itu, dua pemain telahpun menandatangani untuk kelab terbesar dunia - [Yuto] Nagatomo ke Inter (Milan) dan kini Kagawa ke United. Ia adalah bukti yang perkembangan pemain muda Jepun amat baik."

Messi gembira dengan kemenangan




Lionel Messi gembira hatrkinya telah membantu Argentina menewaskan Brazil walaupun hanya bermain sebuah perlawanan persahabatan.

Messi adalah pemain bintang di perlawanan antara gergasi-gergasi Amerika Selatan itu di New Jersey, di mana Messi bantu pasukannya menang 4-3.

Romulo, Oscar dan Hulk menjaringkan gol-gol Brazil dan Federico Fernandez menjaringkan gol ketiga Argentina.

Bercakap selepas perlawanan itu, Messi berkata: "Kemenangan ini mengkuatkan lagi pasukan kami dan membantu kami untuk berkembang sebagai satu pasukan.

"Walaupun ia hanya satu persahabatan, ia sentiasa baik untuk menewaskan Brazil. Saya juga sangat gembira dengan hatrik saya. Tidak selalu kami dapat lihat tujuh gol dalam perlawanan antara Brazil dan Argentina."

Argentina memulakan perlawanan dengan pasukan yang hebat, manakala Brazil memilih skuad yang lebih muda.

"Sangat baik dapat bermain dengan pemain-pemain yang hebat seperti Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain. Keputusan ini baik untuk pasukan kami."

Messi juga mendedahkan beliau telah bertukar jersi dengan bintang Brazil, Neymar selepas perlawanan itu.

"Beliau sentiasa bercakap perkara-perakara baik tentang saya," katanya. "Dia seorang pemain yang hebat dan selepas perlawanan kami bertukar jersi."

Pengurus Argentina Alejandro Sabella gembira dengan usaha pasukannya, terutama sekali dengan Messi.

"Kami bernasib baik Messi adalah seorang pemain Argentina dan kami boleh menikmatinya," katanya.

"Messi adalah pemain yang luar biasa. Prestasi beliau untuk pasukan kebangsaan baru-baru ini sangat baik.

"Kami bermain menentang pasukan yang sangat mengancam di bahagian serangan. Ia adalah pertarungan yang sangat menarik untuk para penyokong."

Bintang Manchester City, Aguero juga terpesona dengan persembahan Messi.

"Dia tidak mengejutkan saya lagi. Beliau adalah pemain terbaik di dunia.

"Dia telah memenangi tiga (FIFA) Ballon d'Or dan akan menjadi pemain terbaik di dunia sehingga beliau bersara."

Ukraine mahu menangani tekanan




Pengurus Ukraine, Oleg Blokhin berkata pasukannya akan menghadapi banyak tekanan jika mereka memulakan kempen Euro 2012 mereka dengan kemenangan atas Sweden.

Ramai yang telah pun mengatakan Ukraine tidak akan mara ke pusingan seterusnya, dengan Perancis dan England pasukan yang lain dalam kumpulan itu.

Blokin tahu pasukannya menghadapi sebuah cabaran yang hebat dan berharap pemainnya dapat meningkatkan prestasi mereka.

"Mereka harus menghadapi cabaran ini, sama ada mereka suka ataupun tidak," katanya kepada www.uefa.com.

"Saya telah berkata pada tahun 2010 bahawa sudah tiba masanya untuk menukar pasukan kebangsaan.

"Mungkin mereka tidak akan menangi apa-apa, tetapi mereka akan mendapat pengalaman berharga untuk masa depan, tetapi sudah tentu saya harap kami dapat pergi jauh dalam pertandingan ini.

"Ada banyak tekanan menjadi pasukan tuan rumah. Apabila saya mengambil alih sebagai jurulatih, saya menetepkan matlamat untuk menjuarai pertandingan ini kerana kami adalah pasukan tuan rumah.

Ukraine menuju ke perlawanan ini selepas kekalahan kepada yang mengecewakan kepada Austria dan Turki, jauh bebeza daripada kejayaan mereka enam tahun yang lalu di mana mereka layak ke suku akhir Piala Dunia.

Perancis awas dengan ancaman Gerrard





Pemain tengah Perancis Yohan Cabaya berkata Steven Gerrard adalah ancaman paling hebat kepada pasukannya menjelang perlawanan mereka di Donestk pada hari Isnin.

Pemain Newcastle, Cabaye sedar tentang kualiti pemain Liverpool itu apabila menyaksikan beliau bermain di Liga Perdana.

Beliau tahu pasukannya akan mempunyai lebih harapan untuk menang jika mereka dapat menahan Gerrard.

Cabaye berkata: "Pemain mana yang paling mengancam? Steven Gerrard adalah seorang pemain yang sangat penting, sangat hebat dan pemimpin yang menunjukkan contoh yang baik kepada rakan-rakan pasukannya.

"Beliau adalah pemimpin mereka, kapten mereka, dan seperti seorang raja dalam perlawanan ini.

"Beliau sangat agresif apabila membuat serangan tetapi beliau juga penting apabila membantu membuat pertahanan. Sangat penting untuk menahan beliau.

"Tetapi England juga mempunyai beberapa pemain muda yang berbakat dan saya juga suka Danny Welbeck."

Cabaye juga telah menggesa Perancis untuk mengambil kesempatan ketiadaan Wayne Rooney yang digantung.

"Rooney adalah seorang pemain yang sangat hebat, dan ketiadaan beliau akan dirasai oleh England.

Cabaye enggan bercakap tentang peluang pasukannya untuk memenangi Euro 2012 walaupun France tidak kalah dalam 21 perlawanan terakhir mereka.

Tetapi beliau mengakui ada suasana yang baik di pasukan Perancis kini.

Beliau berkata: "Ada suasana yang baik di pasukan kami. Kami berjuang untuk satu sama lain dan untuk seluruh Perancis.

"Kami bersedia untuk berjuang. Agak sukar untuk melupakan peristiwa Piala Dunia tetapi terdapat semangant yang baik di sini sekarang.

"Tetapi England adalah pasukan yang hebat dan sukar untuk membuat ramalan tentang perlawanan ini.

"Ada beberapa orang yang mengatakan kami adalah pasukan kegemaran untuk mara ke suku akhir tetapi England, walaupun dengan ketiadaan beberapa pemain akibat kecederaan, masih sangat kuat dan Ukraine adalah pasukan tuan rumah.

"Tetapi kami akan cuba untuk menang dengan cara kami. Saya sedia untuk berjuang dan keputusan yang baik pada hari Isnin akan meningkatkan keyakinan kami."

Penyerang Perancis Karim Benzema berkata: "Kami sudah sedia untuk perlawanan ini dan sangat penting untuk memulakan kempen ini dengan baik."

Hodgson: England tidak takut Perancis




Roy Hodgson menegaskan pemain England tidak takut menentang pasukan Perancis, yang tidak kalah dalam 21 perlawanan terakhir mereka.

Perancis kelihatan seperti sebuah pasukan baru selepas Lauren Blanc mengambil alih sebagai pengurus selepas peristiwa pahit di Piala Dunia 2010. Mereka juga telah menewaskan England 2-1 di Wembley dalam persahabatan 18 bulan lalu.

Tetapi Hodgson percaya para pemainnya boleh membuat kejutan esok.

Beliau berkata: "Para pemain percaya kami boleh menewaskan Perancis. Kami tidak takut dengan mereka.

"Kami hormati mereka. Kami kenali pemain mereka dan bakat mereka. Anda memang harus hormati pasukan yang tidak kalah 21 perlawanan terakhir.

"Di mana-mana liga, 21 perlawanan tanpa kekalahan adalah hebat. Tetapi pemain saya tidak takut. Mereka bermotivasi."

Hodgson menambah: "Saya rasa pemain saya gembira Perancis adalah pasukan kegemaran untuk menang, kerana kami tidak akan berasa tertekan. Kami yakin kami boleh bersaing dengan mereka."

Hodgson sedar dia dianggap sebagai seorang jurulatih yang sering menyuruh pasukannya untuk bermain dengan cara berhati-hati, tetapi berkata keputusan adalah yang paling penting.

Beliau berkata: "Jika pasukan anda boleh membuat pertahanan dengan baik dan tidak dibolos banyak, mungkin anda akan dipanggil seorang jurulatih yang suka bermain dengan cara berhati-hati.

"Tetapi yang penting adalah kemenangan. Jika anda tidak dapat membuat pertahanan yang baik, anda akan dibolos banyak, dan anda akan perlukan seorang penyerang yang boleh menjaringkan banyak gol untuk menyelamatkan pasukan anda."

'Maksud saya adalah saya berfikir secara logik. Saya suka menang dan saya tahu saya tidak boleh menang dengan menyuruh pemain saya untuk menjaringkan tiga atau empat gol."

Hodgson tahu pasukannya dijangka akan sekurang-kurangya mara ke suku akhir.

Beliau berkata: "Apa erti kejayaan? Saya tidak menetapkan apa-apa sasaran. Terlalu banyak sasaran yang telah ditetapkan untuk kami, jadi mengapa bersusah payah untuk menetapkan mereka sasaran kami sendiri?

"Saya tidak bersedia untuk mengatakan apa matlamat saya. Orang ramai menjangkakan kami akan memberikan persembahan yang baik dan akan menjadi sangat kecewa jika kami tidak sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Permulaan yang hebat untuk Croatia




Croatia memulakan kempen Euro 2012 mereka dengan menewaskan Republik Ireland 3-1 dalam perlawanan Kumpulan C.

Ireland, yang tidak kalah dalam 14 perlawanan terakhir mereka sebelum ini, tidak memulakan perlawanan ini dengan baik dan Croatia mendahului perlawanan melalui Mario Mandzukic pada minit ke-3.

Sean St Ledger menyamakan kedudukan selepas 19 minit tetapi Croatia mendahului perlawanan sekali lagi tiga minit sebelum separuh masa apabila Nikica Jelavic menjaring masuk dari jarak dekat.

Jaringan sendiri Shay Given pada permulaan separuh masa kedua melesapkan harapan Ireland untuk bangkit dan meletakkan Croatia di tangga pertama Kumpulan C selepas Sepanyol seri dengan Itali 1-1.

Jurulatih Ireland, Giovanni Trapattoni jelas akan marah dengan jaringan awal yang dibolos pasukannya.

Mandzukic, yang tidak dikawal oleh mana-mana pemain Ireland, menanduk masuk hantaran Darijo Srna dari sayap kanan untuk berikan pendahuluan kepada Croatia.

Walaubagaimanapun, Ireland meningkatkan prestasi mereka dengan percubaan Damien Duff dan Keith Andrews yang tersasar.

Mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-19 apabila sepakan percuma McGeady dari sayap kiri ditanduk masuk oleh St Ledger.

Croatia mendahului perlawanan sekali lagi apabila hantaran Modric terkena dua pemain Ireland dan terlepas kepada Jelavic, yang menjaringkan dengan tenang melepasi Given dari jarak dekat.

Croatia memulakan separuh masa kedua dengan cara yang sama, dan sebuah permainan yang hebat menghasilkan gol ketiga mereka.

Hantaran Perisic ditanduk oleh Mandzukic terkena tiang lalu terkena Given dan masuk ke gawang.

Ireland berjuang dan cuba untuk menjaringkan gol kedua mereka tetapi benteng pertahanan Croatia kukuh. Mereka kini harus menewaskan Sepanyol atau Itali jika mahu kekalkan harapan untuk mara ke suku akhir Euro 2012.

Itali 1-1 Sepanyol




Fernando Torres membazirkan dua peluang lewat di perlawanan pembukaan Euro 2012 Sepanyol di Gdansk.

Torres menggantikan Cesc Fabregas beberapa minit selepas pemain Barcelona itu menjaringkan gol penyamaan untuk Sepanyol. Antonio Di Natale telah membuka tirai untuk Itali.

Tetapi Torres tidak berjaya menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan yang akhir dengan keputusan seri itu.

Del Bosque memulakan perlawanan tanpa seorang penyerang dan walaupun pemain-pemain tengah Fabregas, Andres Iniesta dan David Silva berjaya mencipta beberapa peluang baik, Spain kelihatan tidak mempunyai idea sebelum penyertaan Torres pada minit ke-74.

Rembatan Silva pada minit ke-9 tersasar dan percubaan beliau dua minit kemudian diselamatkan oleh Gialuigi Buffon.

Pemain-pemain pertahanan Itali, Leonardo Bonucci, Daniele De Rossi dan Giorgio Chiellini memberikan persembahan yang baik untuk menghalang serangan Sepanyol di awal perlawanan.

Antonio Cassano juga bermain dengan baik dan mempunyai beberapa peluang baik untuk menjaringkan gol untuk Itali.

Sepakan percuma Andrea Pirlo ditepis oleh Casillas, dan penjaga gawang Real Madrid itu kemudian menghalang percubaan Cassano dan Claudio Marchisio.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang keemasan untuk membuka tirai di masa tambahan separuh masa pertama.

Pertama, rembatan Iniesta tersasar selepas hantaran hebat dari Xavi.

Dan kemudian, Cassano menghantar bola dari sayap kanan kepada Thiago Motta, tetapi tandukan beliau diselamatkan sekali lagi oleh Casillas.

Sepanyol memulakan separuh masa kedua dengan lebih baik dan Buffon terpaksa membuat dua halangan untuk menyelematkan pasukannya.

Tetapi Itali masih menimbulkan masalah untuk pasukan Del Bosque.

Balotelli sepatutnya menjaringkan gol pertama perlawanan itu tetapi beliau mengambil terlalu banyak masa untuk merembat bola dan Sergio Ramos berjaya menyelematkan pasukannya.

Itu merupakan sumbangan terakhir Balotelli sebelum beliau digantikan oleh Di Natale.

Dan pemain veteran Udinese itu membuat kesan yang segera dengan membuka jaringan. Beliau menjaringkan dengan tenang melepasi Casillas selepas hantaran tepat dari Pirlo.

Tetapi Sepanyol meningkatkan prestasi mereka dan berjaya menjaringkan gol penyamaan dua minit kemudian.

Hantaran hebat daripada Silva kepada Fabregas dijaring masuk oleh bekas pemain Arsenal itu.

Torres akhirnya dihantar masuk tetapi walaupun mendapat beberapa peluang baik, beliau kelihatan seperti kurang keyakinan dan membazirkan peluangnya untuk memberikan Sepanyol kemenangan dalam perlawanan pertama Kumpulan C ini.

Disqus

Gomez wira Jerman




Mario Gomez menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan pertama Euro untuk Jerman apabila menentang Portugal.

Jurulatih Jerman, Joachim Low mimilih Gomez atas pemain veteran Miroslav Klose untuk perlawanan ini dan penyerang Bayern Munich itu tidak mengecewakan beliau apabila berjaya menanduk masuk gol tunggal pada minit ke-71.

Pasukan Jerman ini merupakan pasukan yang paling muda sejarah mereka yang pernah mengambil bahagian di pertandingan Euro dan Piala Dunia tetapi mereka menunjukkan mereka cukup matang untuk bermain di tahap tinggi ini.

Pasukan Low memulakan perlawanan dengan lebih baik, dengan usaha Gomez dan Lukas Podolski diselamatkan oleh Rui Patricio pada sepuluh minit pembukaan perlawanan.

Portugal, yang masih terjejas dengan ketiadaan penyerang utama bertaraf dunia, bermain dengan tiga pemain di bahagian serangan yang menukar-nukar posisi mereka - Nani, Cristiano Ronaldo dan Helder Postiga.

Tetapi ketiga-tiga pemain itu memberikan persembahan yang mengecewakan dalam perlawanan itu dan tidak berjaya mencipta banyak peluang di separuh masa pertama.

Selain dari usaha Pepe yang terkena tiang dari satu sepakan sudut dan beberapa usaha Nani yang tersasar, Portugal tidak mengancam dan tidak kelihatan seperti akan menjaringkan gol. Penyertaan pemain muda, Nelson Oliveira pada minit ke-69 sepatutnya memberangsangkan Portugal, tetapi pasukan Low yang menjaringkan gol pertama perlawanan dua minit selepas penukaran itu.

Gomez menanduk masuk dari hantaran Sami Khedira selepas berjaya melepasi pemain pertahanan Portugal.

Jaringan Jerman itu kelihatan seperti memberikan semangat kepada pasukan lawan mereka dan Portugal mula meningkatkan prestasi mereka untuk mencari gol penyamaan.

Rembatan Nani pada minit ke-81 diselamatkan oleh Neuer dan hantaran Nani dari sayap kanan dua minit kemudian terkena tiang. Usaha Valera sekali lagi ditepis oleh Neuer tujuh minit kemudian selepas hantaran daripada Oliveira.

Low menggantikan Ozil dengan Toni Kroos pada minit ke-86, yang kelihatan agak letih, untuk memberikan pasukannya lebih tenaga tetapi Portugal hampir-hampir menjaringkan gol penyamaan dalam masa tambahan.

Ronaldo menggelecek melepasi beberapa pemain Jerman di sayap kiri dan menghantar bola kepada Nani, tetapi rembatan pemain Manchester United itu dihalang dengan hebat oleh Badstuber.

Kemenangan itu bermakna Jerman kini duduk di tangga pertama Kumpulan B bersama Denmark, yang telah menewaskan Belanda 1-0 di perlawanan sebelum itu.

Poland dan Greece seri




Poland dan Greece seri 1-1 dalam perlawanan pembukaan Euro 2012 di Stadium National pada hari Jumaat.

Robert Lewandowski memberikan pendahuluan kepada Poland apabila beliau menanduk masuk di separuh masa pertama.

Penyerang Borussia Dortmund itu, yang dilaporkan akan menyertai Manchester United musim depan, menanduk masuk dari hantaran Jakub Blaszczykowski.

Poland bermain dengan penuh keyakinan depan penyokong mereka sendiri dan membuat beberapa serangan mengancam.

Separuh masa pertama tamat dengan pemain Greece, Kyriakos Papastathopoulos, yang sebelum ini telah menerima kad kuning, mengasari Murawski dan pengadil Carlos Velaso Carballo melayangkan kad kuning keduanya.

Walaubagaimanapun, Greece berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-51 melalui Dimitris Salpingidis.

Kelihatan Greece akan meragut kemenangan daripada pasukan tuan rumah apabila penjaga gawang Poland, Wojciech Szczesny dibuang padang dan Greece dihadiahkan sepakan penalti.

Tetapi, pengganti Szczesny, Przemyslaw Tyton berjaya menghalang sepakan penalti Giorgos Karagounis dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Dzagoev bantu Rusia belasah Czech




Rusia naik ke tangga pertama Kumpulan A di Euro 2012 selepas menewaskan Republik Czech 4-1 di Stadium Municipal.

Pasukan Dick Advocaat tidak memulakan perlawanan dengan begitu baik tetapi berjaya mendahului perlawanan 2-0 di separuh masa pertama melalui jaringan-jaringan Dzagoev dan Shirokov.

Vaclav Pilar memberikan pasukan Czech harapan dengan jaringan selepas masa rehat tetapi Dzagoev dan Roman Pavlyuchenko, yang telah menggantikan Aleksandr Kerzhakov sebelum itu, menjaringkan gol ketiga dan keempat mereka selepas itu.

Walaupun Rusia menjadi pasukan kegemaran untuk menjuarai kumpulan itu, pasukan Czech yang memulakan perlawanan dengan lebih baik.

Rusia memerlukan hampir 15 minit untuk membuat serangan pertama yang betul-betul mengancam apabila Kerzhakov mensia-siakan peluang yang baik daripada hantaran Yuri Zhirkov dari sayap kiri.

Tetapi Rusia masih berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan apabila tandukan Kerzhakov dari hantaran Konstantin Zyryanov terkena tiang dan Dzagoev merembat masuk bola yang terlepas.

Beliau sepatutnya menjaringkan gol kedua hanya beberapa minit kemudian selepas satu lagi serangan balas baik tetapi usaha beliau tersasar.

Tandukan Rezek kemudian dihalang oleh penjaga gawang Rusia, Vyacheslav Malafeev tetapi kesilapan dari Jaroslav Plasil membenerkan Rusia untuk menjaringkan gol kedua mereka.

Shirokov menjaringkan gol dengan tenang dari satu hantaran dari Arshavin, yang sepatutnya untuk Kerzhakov.

Tetapi Czech berjaya menjaringkan gol pertama mereka pada mint ke-52 melalui Pilar. Hantaran hebat Plasil melepasi banteng pertahanan Rusia dan Pilar melepasi Malafeev untuk menjaringkan gol pertama mereka.

Namun, harapan Czech untuk bangkit lesap apabila Dzagoev melepaskan rembatan yang hebat yang melepasi Petr Cech 12 minit sebelum tamat perlawanan.

Pemain gentian Pavlyuchnko kemudian menjaringkan gol keempat yang hebat untuk berikan pasukan Advocaat permulaan kempen Euro 2012 yang memuaskan.

Belanda dikejutkan oleh Denmark





Denmark memulakan kempen Euro 2012 mereka dengan menewaskan Belanda 1-0 di Kiev.

Belanda, dengan pemain-pemain hebat seperti Sneijder, Robben dan van Persie bermain, memberikan persembahan yang mengecewakan manakala pasukan Morten Olsen bermain dengan penuh semangat untuk memulakan kempen Euro mereka dengan kemenangan.

Denmark, yang tidak pernah menang perlawanan pembukaan pertandingan Euro dalam sejarah mereka, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-24 melalui Michael Krohn-Dehli apabila beliau melepasi Johnny Heitinga sebelum merembat bola melepasi Maarten Stekelenburg.

Belanda mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol penyamaan tetapi mereka mensia-siakan peluang mereka. Pertama, usaha Robben terkena tiang dan Van Persie kemudian membazirkan beberapa peluang baik selepas itu.

Walaupun tidak menguasai perlawanan, Belanda masih tetap berjaya mencipta banyak peluang, terutama sekali dengan Wesley Sneijder membuat hantaran-hantaran baik tetapi penjaga gawang Denmark, Stephen Andersen memberikan persembahan yang hebat untuk menyelamatkan pasukannya.

Pemain sayap Ibrahim Afellay juga kelihatan agak mengacam dalam perlawanan ini dengan beberapa usaha yang tersasar.

Walaupun selepas penyertaan Huntelaar dan Van der Vaart di separuh masa kedua, Belanda tidak dapat menjaringkan gol penyamaan dengan benteng pertahanan Denmark, yang dipimipin oleh ketua pasukan Daniel Agger dan Simon Kjear, kukuh.

Belanda kini harus bangkit di perlawanan kedua mereka apabila menentang Jerman di 14 Jun untuk kekalkan harapan mereka untuk mara ke suku akhir Euro 2012.