Pages

Sunday, 10 June 2012

Gomez wira Jerman




Mario Gomez menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan pertama Euro untuk Jerman apabila menentang Portugal.

Jurulatih Jerman, Joachim Low mimilih Gomez atas pemain veteran Miroslav Klose untuk perlawanan ini dan penyerang Bayern Munich itu tidak mengecewakan beliau apabila berjaya menanduk masuk gol tunggal pada minit ke-71.

Pasukan Jerman ini merupakan pasukan yang paling muda sejarah mereka yang pernah mengambil bahagian di pertandingan Euro dan Piala Dunia tetapi mereka menunjukkan mereka cukup matang untuk bermain di tahap tinggi ini.

Pasukan Low memulakan perlawanan dengan lebih baik, dengan usaha Gomez dan Lukas Podolski diselamatkan oleh Rui Patricio pada sepuluh minit pembukaan perlawanan.

Portugal, yang masih terjejas dengan ketiadaan penyerang utama bertaraf dunia, bermain dengan tiga pemain di bahagian serangan yang menukar-nukar posisi mereka - Nani, Cristiano Ronaldo dan Helder Postiga.

Tetapi ketiga-tiga pemain itu memberikan persembahan yang mengecewakan dalam perlawanan itu dan tidak berjaya mencipta banyak peluang di separuh masa pertama.

Selain dari usaha Pepe yang terkena tiang dari satu sepakan sudut dan beberapa usaha Nani yang tersasar, Portugal tidak mengancam dan tidak kelihatan seperti akan menjaringkan gol. Penyertaan pemain muda, Nelson Oliveira pada minit ke-69 sepatutnya memberangsangkan Portugal, tetapi pasukan Low yang menjaringkan gol pertama perlawanan dua minit selepas penukaran itu.

Gomez menanduk masuk dari hantaran Sami Khedira selepas berjaya melepasi pemain pertahanan Portugal.

Jaringan Jerman itu kelihatan seperti memberikan semangat kepada pasukan lawan mereka dan Portugal mula meningkatkan prestasi mereka untuk mencari gol penyamaan.

Rembatan Nani pada minit ke-81 diselamatkan oleh Neuer dan hantaran Nani dari sayap kanan dua minit kemudian terkena tiang. Usaha Valera sekali lagi ditepis oleh Neuer tujuh minit kemudian selepas hantaran daripada Oliveira.

Low menggantikan Ozil dengan Toni Kroos pada minit ke-86, yang kelihatan agak letih, untuk memberikan pasukannya lebih tenaga tetapi Portugal hampir-hampir menjaringkan gol penyamaan dalam masa tambahan.

Ronaldo menggelecek melepasi beberapa pemain Jerman di sayap kiri dan menghantar bola kepada Nani, tetapi rembatan pemain Manchester United itu dihalang dengan hebat oleh Badstuber.

Kemenangan itu bermakna Jerman kini duduk di tangga pertama Kumpulan B bersama Denmark, yang telah menewaskan Belanda 1-0 di perlawanan sebelum itu.

No comments:

Post a Comment